Tuesday, 27 October 2015

Gajet Saya

     Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang berkembang maju. Walaubagaimanapun, kita perlu tahu bahawa tanpa perkembangan teknologi masa kini, negara kita tidak akan dapat berkembang maju seiring dengan usaha bergerak ke arah Wawasan 2020. Rakyat Malaysia tidak melepaskan peluang keemasan untuk mengikuti perkembangan teknologi masa kini demi mendapatkan kehidupan yang lebih selesa dan sentiasa mendapatkan isu-isu semasa yang memberi kesan secara langsung atau tidak langsung dalam kehidupan kita. Kita juga perlulah meluahkan rasa syukur kerana perubahan teknologi ini dapat memberikan banyak faedah kepada kita. Kepekaan rakyat  terhadap perubahan teknologi masa kini dapat dibuktikan apabila hampir seluruh rakyat Malaysia mempunyai gajet tersendiri iaitu tanpa mengira peringkat umur daripada golongan kanak-kanak sehingga warga tua. Namun demikian, persoalannya apakah itu gajet? Gajet ialah merupakan perangkat elektronik kecil yang memiliki fungsi khusus antaranya telefon pintar, komputer riba dan sebagainya. Saya mempunyai pelbagai jenis gajet yang merupakan sebahagian daripada barang yang sangat penting dalam hidup saya.
Telefon bimbit pertama yang saya miliki ialah Nokia Butterfly iaitu semasa saya berumur 14 tahun. Telefon tersebut merupakan pemberian daripada kakak saya kerana pada masa itu, saya masih di bangku persekolahan dan tidak mampu untuk membeli telefon bimbit sendiri. Telefon bimbit ini telah memberi kebaikan kepada saya dan keluarga kerana dengan adanya telefon bimbit ini saya dan kakak boleh sentiasa berhubung antara satu sama lain untuk bertanyakan khabar. Kakak saya memberikan telefon bimbit ini kepada saya. Hal ini disebabkan oleh kakak saya tinggal berjauhan dengan keluarga. Saya berasa amat bersyukur dan sangat gembira kerana memiliki telefon bimbit ini. Namun demikian, jangka hayat telefon ini tidak panjang kerana mempunyai masalah bateri. Oleh itu, saya harus mendapatkan telefon bimbit yang lain.
Nokia Butterfly

Telefon bimbit saya yang kedua ialah Nokia 5300 XpressMusic . Telefon bimbit ini juga merupakan pemberian daripada kakak saya. Pada masa itu, saya masih belajar  di tingkatan 4. Saya amat tertarik dengan reka bentuk telefon bimbit ini dan warnanya yang menarik. Saya sering membawa telefon bimbit ini ke sekolah terutamanya semasa kelas tambahan pada waktu malam. Oleh yang demikian, jika ayah saya lewat sampai ke sekolah untuk menjemput saya, saya boleh menelefonnya terlebih dahulu.  Peristiwa semasa pertama kali saya membawa telefon bimbit ini ke sekolah masih kuat dalam ingatan saya kerana ramai rakan saya memuji dan mengatakan bahawa telefon tersebut sangat canggih dan cantik.

Nokia 5300 XpressMusic

Telefon pintar saya yang ketiga ialah Samsung Champ. Pada kali ini saya berasa amat teruja kerana saya dapat membeli telefon pintar ini dengan wang saya sendiri. Saya mengumpul wang perbelanjaan harian sekolah saya manakala ditambah dengan wang biasiswa yang saya terima untuk membeli telefon pintar ini. Oleh yang demikian, saya mula faham dan mengerti kesusahan ibu bapa saya berkerja dan mengumpul wang demi memenuhi keinginan anak-anak mereka. Warna merah jambu merupakan pilihan saya kerana saya mempunyai perwatakan yang lemah lembut. Saya amat menyayangi telefon pintar ini dan berjanji pada diri untuk  menjaganya dengan baik.

Samsung Champ


Telefon pintar yang seterusya ialah Sony Ericson W205 yang berwarna hitam. Namun dalam masa yang sama, saya juga menggunakan Samsung Galaxy Y yang berwarna putih. Saya menggunakan kedua-dua telefon ini semasa saya belajar di Kolej Matrikulasi Johor. Saya memilih untuk menggunakan kedua-dua telefon ini pada suatu masa yang sama kerana saya menggunakan dua nombor telefon iaitu Maxis dan Celcom. Oleh itu, saya mudah untuk berhubung dengan rakan-rakan saya yang tinggal di pelbagai negeri di seluruh Malaysia kerana sebahagian daripada mereka menggunakan perkhidmatan Maxis dan selebihnya Celcom. Saya membeli telefon ini dengan menggunakan wang saya sendiri. Samsung Galaxy Y mempunyai pelbagai aplikasi yang dapat membantu saya dalam menguruskan hubungan bersama keluarga dan rakan-rakan. Misalnya, saya boleh mengakses internet untuk mendapatkan maklumat mengenai tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Saya juga gemar untuk mengulangkaji pelajaran sambil mendengar lagu yang telah dimuatnaik dalam telefon ini. Oleh yang demikian, saya tidak akan berasa mengantuk semasa belajar di bilik. 

Samsung Galaxy Y


Sony Ericson W205

Tambahan lagi, telefon yang saya gunakan pada masa ini ialah Lenovo S920. Antara kriteria yang saya titikberatkan semasa membeli telefon pintar ini ialah kamera, harga dan elemen yang paling penting ialah kualiti. Saya memilih Lenovo S920 kerana telefon ini mempunyai kamera yang baik dan mampu menghasilkan gambar yang cantik dan jelas. Selain itu, saya juga memilih telefon ini kerana harga yang berpatutan dan mampu dibeli terutamanya kepada seorang pelajar. Terdapat pelbagai aplikasi menarik dalam telefon ini seperti instagram, facebook, google dan sebagainya. Saya sering menggunakan facebook sebagai medium untuk berkongsi pendapat dan kenangan manis dalam hidup saya. Saya juga sangat gemar untuk mengambil banyak gambar bersama keluarga dan rakan-rakan supaya dapat dijadikan sebagai kenangan manis untuk masa akan datang. Aplikasi galeri dalam telefon saya dipenuhi dengan gambar saya dan rakan-rakan daripada minggu suai kenal sehingga hari ini. Alhamdulillah, saya telah menggunakan telefon ini selama lima semester dan telefon ini tidak mempunyai masalah yang serius.

Lenovo S920


Di samping itu, saya juga memiliki komputer riba yang berjenama Acer. Komputer riba ini merupakan pemberian daripada ayah saya kepada saya kerana saya telah berjaya menempatkan diri di menara gading. Saya berasa sangat terharu dan berazam untuk menjaga komputer riba ini dengan sebaik mungkin kerana dengan adanya komputer riba ini, saya dapat menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah, mencari dan menyimpan maklumat serta menonton video pada masa lapang.
Acer

Akhir kata, kesemua gajet yang saya telah gunakan mempunyai kebaikan dan keunikan yang tersendiri. Setiap gajet saya mempunyai kenangan manis dan pahit bersama saya yang tidak mungkin dapat saya lupakan sehingga akhir hayat saya.


Pelayaran Bahtera Kehidupan di UUM

Semester 1
     Pada tanggal 2 Sep 2013 iaitu pada hari isnin merupakan hari pertama saya menjejakkan kaki ke Universiti Utara Malaysia(UUM) atau dikenali sebagai universiti di rimba hijau. Memang tidak dinafikan bahawa adalah sangat sukar dan berat langkah kaki ini untuk berjauhan dengan keluarga. Saya merupakan anak kelahiran Johor iaitu suatu tempat yang berada di selatan Malaysia namun kini saya harus menetap di bahagian utara Malaysia. Perjalanan dari Johor ke Kedah mengambil masa lebih kurang 12 jam.  Pada hari bersejarah tersebut, ibu, ayah dan adik-beradik saya telah meluangkan masa untuk menghantar saya ke sini walaupun mereka sebenarnya sangat sibuk dengan tugas masing-masing. Saya mendaftarkan diri pada jam 2 petang kemudian setelah mendapat kunci bilik saya terus ke bilik yang  telah ditetapkan.
     Teman sebilik saya berasal dari Kelantan. Namanya Mastura, mempunyai perwatakan yang sangat lemah lembut dan sedikit pendiam orangnya. Detik yang paling sayu dan menyedihkan ialah apabila keluarga saya mahu pulang ke Johor dan terpaksa meninggalkan saya seorang diri di sini. Hal tersebut amat sukar bagi saya kerana saya tidak pernah berjauhan dengan keluarga tambahan lagi saya amat rapat dengan ibu saya. Perasaan sebak saya hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu. Jika diberi keizinan saya mahu mengikut mereka pulang ke Johor namun demikian jika memikirkan tentang cita-cita dan harapan keluarga yang setinggi gunung saya cuba untuk menguatkan diri saya untuk menjalani kehidupan yang lebih mencabar di sini.
     Pada malamnya, bermulalah minggu suai kenal (MSK) iaitu merupakan program wajib yang telah dirancang untuk kami sebagai pelajar baharu supaya kami mendapat pendedahan yang lebih mendalam mengenai UUM. Semua fasi yang bertugas telah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik. Saya berasa amat letih kerana hampir setiap malam kami harus berjalan kaki ke Dewan Muadzam Shah (DMAS) dan kesemua aktiviti akan tamat pada jam 2 pagi. Fasi-fasi telah memberikan maklumat mengenai tempat-tempat yang penting di sini seperti dewan kuliah, perpustakaan, jadual perjalanan bas dan banyak lagi.
     Apabila sesi pembelajaran telah bermula, saya menemui ramai rakan baru dari berbagai negeri di seluruh Malaysia. Saya telah mendapat pengalaman baru yang sangat bermakna dalam hidup saya iaitu saya dapat belajar untuk hidup berdikari dan berpisah jauh daripada keluarga. Oleh itu, saya dapat mengenal erti tabah dan sabar dalam mengharungi kehidupan seharian. Saya juga dapat belajar untuk menghargai masa. Contohnya, saya bangun pada awal pagi supaya saya dapat ke kelas lebih awal daripada orang lain dan tidak perlu menghadapi kesesakan semasa menaiki bas.
     Tambahan lagi, sebagai pelajar baharu, saya wajib mengikuti program-program yang ditetapkan oleh pihak UUM. Saya telah menghadiri program kepimpinan dan keusahawanan iaitu merupakan sebuah program yang dapat melahirkan para pelajar yang berkebolehan daripada segi akademik dan kokurikulum. Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk menyuarakan pendapat dan berbincang tentang cara menjadi seorang pelajar yang cemerlang.
    Cabaran sebagai seorang pelajar semakin meningkat apabila saya harus menyelesaikan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah kerana saya dapat belajar untuk menjadi seorang perancang yang baik. Selain itu, saya menyedari bahawa masa adalah emas yang sangat berharga oleh yang demikian, masa perlulah digunakan dengan sebaiknya dan manusia yang menggunakan masa dengan perkara yang sia-sia ialah golongan yang sangat rugi. Debaran semakin memuncak apabila saya harus menghadapi peperiksaan akhir universiti. Sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir, saya mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam dan mengorbankan masa tidur saya. Saya mengulangkaji pelajaran dengan menggunakan kertas soalan peperiksaan semester sebelumnya. Saya sangat bersyukur kerana saya mendapat keputusan yang  cemerlang dan masih mampu membuat ibu dan ayah bangga serta gembira dengan saya.
     Akhir sekali, saya juga mendapat pengalaman baru apabila tiba kemunculan cuti semester yang dinanti-nantikan oleh semua mahasiswa. Saya amat teruja semasa pertama kali menaiki bas ketika pulang ke Johor. Perjalanan mengambil masa selama 12 jam. Oleh itu, saya berasa amat letih kerana terlalu lama berada di dalam bas. Walaubagaimanapun, rasa letih tersebut hilang setelah saya dapat berjumpa dengan keluarga tercinta dan selamat sampai ke destinasi.


Majlis Makan Malam Dpp Tm

Rakan kelas



Semester 2
     Perjalanan sebagai seorang pelajar diteruskan pada semester kedua. Pada semester ini saya telah mendapat ilmu dan maklumat dalam menguruskan hal akademik dengan lebih teratur seperti pengurusan subjek yang akan diambil dan jadual. Pengalaman baru yang saya dapat belajar dalam semester ini ialah menghadiri majlis makan malam Dewan Penginapan Pelajar Tm. Saya dan rakan-rakan  berasa sangat terharu dan menyediakan persiapan yang rapi bagi menghadiri majlis tersebut. Walaubagaimanapun, timbul sedikit perasaan tidak puas hati apabila saya tidak mendapat meja makan sedangkan saya telah membayar yuran. Oleh itu, saya harus berkongsi meja dengan rakan-rakan baharu yang merupakan pelajar antarabangsa.
   Selain itu, saya juga belajar untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Saya dan ahli kumpulan membuat perniagaan menjual jersi iaitu jersi bola sepak pasukan Johor Darul Takzim(JDT). Pada awalnya, perniagaan kami kurang mendapat sambutan walaupun kami telah menjalankan promosi secara aktif terutamanya dalam laman sosial seperti Facebook. Namun demikian, kami membuat keputusan untuk melibatkan  diri dalam sebuah karnival di Dpp Sme Bank. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Kami sangat berpuas hati dengan keuntungan yang diperoleh dan kami juga sangat bersyukur kerana secara tak langsung pembinaan perniagaan ini telah meningkatkan lagi rasa minat kami terhadap perniagaan dan perkara yang paling penting ialah kami tidak menganggap peniagaan ini sebagai tugasan semata-mata.
   Pada semester ini juga saya dijemput untuk menghadiri Majlis Anugerah Dekan untuk julung kalinya. Majlis ini dapat menguatkan lagi semangat saya untuk belajar dalam mencapai cita-cita dan membahagiakan ibu dan ayah di dunia dan akhirat. Pengisian bermakna dalam majlis ini akan saya kongsikan bersama rakan-rakan sebagai peniup semangat kami untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Jersi pasukan JDT


Semester 3
     Pada semester ini, saya mendapat pengalaman baru apabila majlis konvokesyen UUM dijalankan. Oleh yang demikian, saya tidak melepaskan peluang untuk mengahadiri pesta konvo UUM yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pelajar. Terdapat pelbagai jenis pilihan makanan yang membuka selera saya. Namun demikian, masalah yang mencabar diri saya ialah kewangan. Kebanyakan pelajar mempunyai masalah untuk mengawal perbelanjaan. Justeru itu, saya harus belajar untuk merancang dan mengurus perbelanjaan saya dengan baik dengan cara membeli barang yang perlu sahaja dan mengawal diri daripada terpengaruh dengan keinginan yang tidak diperlukan.
Selain itu, hobi saya ialah bersiar-siar. Jika saya berada di rumah, saya dan rakan-rakan akan bersiar-siar pada waktu petang untuk memenuhi masa lapang. Oleh itu, saya tidak mahu mengorbankan hobi yang saya minati hanya kerana semata-mata saya telah menyambung pelajaran di UUM. Saya telah memilih tasik di Dpp Sime Darby sebagai tempat saya mengisi masa lapang dan juga melepaskan tekanan. Setiap orang mempunyai cara yang berbeza untuk melepaskan tekanan dan inilah cara saya. Saya akan mengambil masa beberapa minit berseorangan di sana. Jika saya berasa bosan pada waktu malam, saya akan menonton video atau cerita-cerita yang menarik di bilik. Pada kebiasaannya saya menonton semasa menyiapkan tugasan untuk menghilangkan rasa mengantuk.
     Pada semester ini juga saya telah menjalankan sebuah perniagaan menjual makanan. Perniagaan tersebut harus dijalankan atas arahan daripada pensyarah untuk mendapatkan markah dan gred yang baik. Saya dan ahli kumpulan bersetuju untuk menjual sosej gulung iaitu sosej yang saluti dengan telur goreng dan kemudian disaluti lagi dengan roti paratha. Kami mengambil pesanan daripada rakan-rakan terlebih dahulu dan kami juga tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan sosej gulung dalam laman sosial. Kami juga menyediakan servis penghantaran dari bilik ke bilik. Harga yang dikenakan juga sangat berpatutan dan mampu dibeli oleh para pelajar.
   Akhir sekali, semasa festival kebudayaan universiti dijalankan, saya dan rakan-rakan telah berkunjung ke pusat kebudayaan untuk menyaksikan pelbagai pertandingan tradisional daripada para pelajar UUM. Terdapat pertandingan dikir barat, boria, nasyid, nyanyian solo dan tarian. Saya memberikan sokongan penuh kepada Dpp Tm dengan memberikan semangat kepada rakan-rakan yang menyertai pertandingan tersebut.
Tasik Dpp Sime Darby

Ahli Kumpulan Perniagaan



Semester 4
     Kehidupan di UUM semakin mencabar apabila saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya masalah bersama rakan. Seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang, pada awal waktu perkenalan kita tidak akan dapat mengenali rakan dengan sepenuhnya. Namun apabila berada di pertengahan perkenalan pada saat itulah kita akan nampak keburukan seseorang itu. Saya dan rakan saya telah mengalami perselisihan faham dan kami cuba mengambil haluan masing-masing terlebih dahulu sebelum perkara tersebut menjadi lebih rumit.  
      Pada semester ini juga saya merasakan bahawa kehidupan saya sebagai seorang pelajar telah sampai ke fasa yang paling mencabar apabila saya harus menguruskan masa untuk menghadapi kuiz, pembentangan dan ujian dalam satu hari. Saya juga mendapat pengalaman baru semasa saya membuat pembentangan rancangan perniagaan bersama pihak bank. Alhamdulillah maklumbalas yang positif diterima daripada pihak bank serta dapat membantu perjalanan saya sebagai seorang pelajar dengan lebih baik.
       Tambahan lagi, semasa saya membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir, keluarga saya telah datang ke UUM dan membawa saya bercuti ke Pulau Langkawi. Memang tidak dinafikan bahawa saya berasa agak susah hati kerana sepatutnya saya menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran tetapi setelah mendapat nasihat dan sokongan daripada keluarga bahawa mereka akan mengawal jadual belajar saya semasa bercuti, saya bersetuju untuk mengikuti percutian itu. Alhamdulillah, percutian tersebut merupakan percutian yang paling bermakna dalam hidup saya kerana percutian tersebut dipenuhi dengan kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan dalam hidup saya dan merupakan percutian terakhir saya bersama arwah ibu. Saya berjanji untuk menggenggam dan sematkan kenangan ini dalam ingatan saya selama-lamanya.
       Pada semester ini, Dpp Tm sekali lagi mengadakan majlis makan malam dan ini merupakan kali kedua saya menghadiri majlis makan malam ini. Namun demikian, keadaan menjadi agak berbeza sedikit daripada sebelum ini kerana saya terlibat dalam persediaan majlis makan malam tersebut. Saya terpaksa mengorbankan masa dan tenaga untuk melakukan persediaan tersebut supaya majlis tersebut berjalan lancar.

Semester  5
       Pada semester ini, saya sangat sibuk dalam menguruskan program-program di kolej. Saya harus belajar cara menguruskan dan membahagikan masa dengan baik untuk akademik dan program kolej. Semester ini menjadi semester yang paling mencabar kerana saya harus menjalani kehidupan dengan merasa kehilangan kasih sayang seorang ibu. Saya mengakui adalah sangat sukar bagi saya meneruskan kehidupan tanpa seorang ibu disisi. Selama ini ibu banyak memberikan semangat dan mengambil berat terhadap saya. Saya berasa sangat sedih kerana saya tidak sempat untuk membantu ibu dengan memberikan kasih sayang dan membantu daripada segi kewangan daripada hasil usaha saya sendiri apabila bekerja. Saya hanya mampu mengirimkan doa untuk arwah ibu dan sentiasa merinduinya.
      Tambahan lagi, saya juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pesta konvokesyen UUM ke-28. Pada pendapat saya, pesta konvo UUM pada kali ini lebih meriah daripada sebelum ini. hal ini disebabkan oleh terdapat banyak gerai yang dibuka serta berbagai makanan yang dijual. Selain itu, terdapat banyak permainan yang dapat saya cuba bersama rakan-rakan. Apabila saya dan rakan-rakan melihat jambakan-jambakan bunga yang dijual, kami berasa sangat tidak sabar untuk menunggu saat kami tamat pengajian dan mengikuti konvokesyen.
         Pada minggu ini, saya berasa sangat gembira apabila abang saya dari Johor telah berkunjung ke UUM untuk melawat saya. Kami telah menghabiskan masa bersama-sama dengan bersiar-siar ke Alor Setar. Saya berasa agak letih tetapi saya sangat seronok dan terhibur apabila dapat bermain bersama anak-anak saudara saya. Mereka sangat bijak dan comel sehingga saya tidak berasa bosan apabila melayan karenah mereka. Kedatangan keluarga saya ke UUM berjaya mengubat rasa rindu yang terpendam dalam diri saya kepada arwah ibu saya selama ini. 

Teman tapi mesra

Khasiat Buah Cempedak

     Buah cempedak mempunyai kulit berduri kecil yang berwarna hijau dan bahagian dalamnya  berwarna kuning terang. Ramai orang tidak dapat membezakan buah cempedak dengan buah nangka kerana kedua-dua buah ini mempunyai aroma yang hampir sama. Baunya sangat harum dan tidak jauh bezanya seperti bau buah durian dan manga. Isi pada bahagian dalamnya agak nipis, mudah hancur, berwarna kuning gading kemerahan dan kaya dengan serat. Cempedak terdiri daripada beberapa jenis antaranya ialah cempedak lokal, cempedak Malaysia dan cempedak air. Pokok buah cempedak selalunya didapati di kawasan luar bandar. Namun demikian, masyarakat bandar juga tidak perlu risau jika mereka mempunyai keinginan untuk menikmati buah cempedak ini kerana buah cempedak ini telah dikomersialkan di kawasan bandar. Oleh yang demikian, penduduk bandar boleh mendapatkan buah cempedak di mana-mana kedai atau pasaraya berdekatan. Buah cempedak ini juga mempunyai khasiat yang tersendiri seperti buah-buahan yang lain.
     Khasiat pertama buah cempedak ialah dapat menyihatkan mata. Buah Cempedak mengandungi vitamin A yang dapat membantu meningkatkan kesihatan pada mata kita. Terdapat juga buah-buahan dan sayur-sayuran  lain yang mengandungi vitamin dan khasiat tersendiri tetapi buah cempedak merupakan buah yang paling diminati orang ramai kerana rasanya yang manis dan memberikan kepuasan yang amat tinggi kepada pemakannya. Justeru itu, buah cempedak dapat menyihatkan mata.
Kedua, buah cempedak boleh dijadikan sebagai bahan makanan. Rasanya yang manis bertambah sedap apabila dijadikan cempedak goreng. Rakyat Malaysia amat gemar memakan cempedak goreng. Oleh itu, banyak peniaga kecil mengambil peluang untuk menjual cempedak goreng di warung-warung di tepi jalan. Walaubagaimanapun, buah cempedak ini haruslah dibersihkan dengan baik sebelum digoreng. Tuntasnya, buah cempedak dapat dijadikan bahan makanan dalam kehidupan seharian.
    Ketiga, buah cempedak mampu merendahkan kolestrol dalam darah. Buah cempedak juga memiliki manfaat terhadap tubuh kita terutamanya kepada orang ramai yang mempunyai masalah jantung kerana buah cempedak dapat merendahkan kadar kolestrol dalam darah. Vitamin C yang terkandung dalam buah cempedak dapat menyingkirkan kolestrol yang tidak baik agar tidak mengalir dalam darah dan membantu kolesterol baik untuk mengalir secara lancar. Kolestrol yang tidak baik boleh mengakibatkan penyakit jantung. Oleh itu, buah cempedak dapat mengurangkan kadar kolestrol dalam darah.
     Seterusnya, buah cempedak mampu mengurangkan risiko daripada mendapat penyakit angin ahmar. Sebahagian besar golongan yang sering menghidap penyakit angin ahmar ini ialah dalam kalangan golongan yang lanjut usianya. Namun demikian, penyakit angin ahmar ini juga tidak mustahil boleh terjadi kepada golongan muda. Oleh itu, buah cempedak boleh mengurangkan risiko daripada diserang penyakit angin ahmar.
   Tambahan lagi, buah cempedak dapat menjadi makanan yang dapat membantu dalam melangsingkan tubuh badan. Hal ini adalah sangat sinonim dengan golongan wanita yang sangat mengidamkan tubuh badan yang langsing. Buah cempedak dapat melangsingkan tubuh badan kerana apabila kita memakan buah cempedak ini, kita akan berasa cepat kenyang disebabkan oleh kandungan nutrisi yang sihat dan mencukupi. Oleh itu, buah cempedak sangat sesuai dimakan untuk mereka yang ingin melangsingkan tubuh badan.
    Akhir sekali, buah cempedak boleh membantu memperbaiki sistem pencernaan. Kandungan vitamin C dalam buah cempedak mampu menghindarkan kita daripada penyakit sembelit. Sistem pencernaan yang baik sangat penting kepada kita kerana ia dapat membantu kita menjalani kehidupan seharian dengan sempurna. Natijahnya, buah cempedak dapat memperbaiki sistem pencernaan badan.
    Kesimpulannya, buah cempedak mempunyai banyak khasiat yang dapat membantu dalam menyihatkan tubuh badan kita. Pada pendapat saya, buah cempedak ini patut dikomersialkan ke peringkat globalisasi supaya ianya dikenali di seantero dunia.

Buah Cempedak

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Nak tambah ilmu kene belajar
Dah banyak ilmu tolong kongsikan.’






Saturday, 17 October 2015

Siapakah saya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera….
Nama diberi Shazwani Binti Othman. Nama panggilan yang paling diminati ramai ialah wani. Shazwani membawa maksud ketinggian. Malangnya saya tidaklah begitu tinggi orangnya. Saya merupakan anak kelahiran negeri Johor Darul Takzim. Saya dilahirkan ke dunia pada jam 6.20 pagi pada 1 januari 1994 di hospital Segamat. Ibu saya mengatakan bahawa saya tidak sabar untuk melihat dunia kerana saya lahir lebih awal daripada jangkaan tarikh kelahiran saya. Saya terpaksa dimasukkan dalam inkubator dan tinggal di hospital selama seminggu namun ibu saya telah dibenarkan pulang ke rumah lebih awal oleh doktor. Semasa di hospital terdapat satu kejadian berlaku iaitu jururawat yang bertugas telah memberikan bayi perempuan lain kepada ibu saya. Walaubagaimanapun, disebabkan oleh naluri seorang ibu yang kuat setelah melihat wajah bayi itu, ibu saya mengatakan bayi tersebut ialah bukan anaknya iaitu saya kerana bayi tersebut dilahirkan pada tengah malam sedangkan saya dilahirkan pada awal pagi. Alhamdulillah, tidak berlaku kejadian seperti dalam sinetron yang bertajuk ‘Puteri Yang Tertukar’. Saya berasa sangat bersyukur kerana telah mendapat pinjaman hayat selama 21 tahun dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan onak duri ini.
Saya merupakan anak kelima daripada enam orang adik beradik. Saya dan adik beradik telah mengharungi duri-duri kehidupan selama 21 tahun bersama bak kata pepatah air dicincang tidak akan putus. Secara jujurnya, saya amat merindui kenangan semasa kami adik-beradik masih kecil dan tinggal bersama tetapi sekarang kesemua adik-beradik saya telah mempunyai kerjaya masing-masing dan tinggal berjauhan daripada ibu dan ayah. InsyaAllah ukhuwah yang disemai ini akan berkekalan sehingga ke syurga. Saya dibesarkan oleh sebuah keluarga yang sederhana. Ibubapa saya memerah keringat untuk memastikan kesemua anak mereka berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Alhamdulillah kini kami adik beradik telah berjaya merealisasikan impian mereka.
Ayah saya ialah seorang peneroka felda yang pada setiap hari ke ladang untuk mencari rezeki demi isteri dan anak-anak. Masih kuat dalam ingatan saya apabila ayah saya ke ladang dengan menaiki motorsikal dalam pulang ke rumah dengan pakaian yang basah akibat hujan. Pada masa itu, kami hanya mempunyai sebuah motorsikal sahaja tetapi motorsikal tersebut sangat berjasa kepada kami sekeluarga kerana dengan motorsikal itu kami ke sekolah, ayah pergi ke ladang dan membawa kami bersiar-siar pada waktu petang. Ibu pula membantu ayah dengan menjual kuih bahulu tanpa mengenal penat lelah. Ibu sering tidur pada lewat malam dan bangun pada awal subuh untuk menyiapkan tempahan kuih bahulu para pelanggannya. Saya tahu ibu dan ayah sangat letih bekerja demi mencari sesuap nasi. Oleh itu, saya berjanji untuk membantu mereka dengan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran dan mendapat kerja yang bagus untuk membina sebuah kehidupan yang lebih selesa. Ibu telah menjalankan perniagaan sejak saya berusia 1 tahun. Oleh yang demikian, usia perniagaan ibu saya ialah selama 21 tahun.


Ladang kelapa sawit
Pada tanggal 28 Ogos 2015, Allah S.W.T telah menurunkan sebuah ujian yang sangat besar kepada kami sekeluarga. Ibu saya telah kembali ke rahmatullah disebabkan penyakit yang serius. Kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba bagai disambar petir yang mana kejadian tersebut amat mengejutkan kami sekeluarga dan memberikan kesan yang sangat besar kepada kami disebabkan kehilangannya adalah untuk selama-lamanya. Ibu tidak pernah berkongsi cerita mengenai penyakitnya kepada anak-anaknya kerana hatinya yang mulia tidak mahu anak-anaknya berasa risau dan khuatir tentang kesihatannya.
Pada petang itu, saya dan kakak saya membawa ibu ke hospital Sultanah Aminah Johor Bharu kerana melihat keadaan ibu yang semakin teruk. Semasa dalam perjalanan, ibu memesan kepada saya supaya menunggunya di hospital. Setelah sampai di hospital, ibu saya keluar daripada kereta dan masuk ke ruang kecemasan dengan berjalan sendiri tanpa meminta pertolongan daripada kami walaupun pada ketika itu, denyutan nadinya terlalu tinggi melebihi 200. Kemudian, kakak saya menyatakan bahawa ibu saya akan dibenarkan pulang selepas melihat keadaan ibu yang masih mampu berjalan sendiri.
Tiba-tiba, pihak hospital memanggil kami ke ruangan kritikal. Kami berasa sangat terkejut dan panik lalu terus memasuki ruangan kritikal tersebut. Setibanya di dalam ruangan tersebut, saya berasa sangat sebak di dada apabila melihat ibu saya terlantar di atas katil seperti lemah dan tidak mampu bergerak melainkan hanya bebola matanya sahaja yang mempu bergerak melihat kami. Kemudian, doktor terus memberitahu kami bahawa keadaan ibu kami sangat kritikal dan sangat tenat. Doktor membenarkan kami memberikan semangat kepada ibu dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum doktor memberi ubat supaya ibu tidur dan menunggu tindakbalas daripada ubat yang diberi. Terdapat beberapa orang doktor yang berdiri mengelilingi ibu semasa kami dibawa berjumpa dengan ibu. Saya tidak dapat menahan air mata semasa berbisik di telinga ibu terutamanya apabila ibu memandang wajah saya seolah-olah ingin mengatakan sesuatu kepada saya tetapi ibu sudah tidak berdaya. Pada jam 12.30 malam, ibu dimasukkan ke dalam wad. Kami sangat sedih apabila melihat keadaan ibu yang meneruskan pertaruhan nyawanya dengan menggunakan mesin.
Pada keesokannya, hari jumaat bersamaan 28 Ogos, setelah kami sekeluarga tiba di hospital dan menziarahi ibu, keadaan ibu menjadi semakin lemah. Ibu seakan-akan menunggu kesemua anak-anaknya menziarahinya terlebih dahulu pergi meninggalkan kami. Tepat pada jam 4.45 petang, ibu menghembuskan nafas terakhir. Saya amat menyedari bahawa ibu telah cuba sedaya upaya untuk melawan penyakitnya itu namun tewas. Walaubagaimanapun, saya berasa sangat bersyukur kerana saya dan semua adik-beradik berada disisi ibu pada saat itu dan saya tidak sanggup melihat ibu terseksa. Saya merasakan semua yang terjadi ini bagaikan mimpi. Saya seolah-olah tidak mampu bangun daripada mimpi ini. Walaubagaimanapun, kami sekeluarga sedang belajar untuk redha dan tabah dalam mengharungi ujian yang perit ini kerana setiap yang hidup pasti merasakan mati tetapi yang membezakannya ialah masa.

Buah hati dunia akhirat
Tambahan lagi, saya mendapat pendidikan awal pada usia 6 tahun. Kemudian, saya menjejakkan kaki ke Sekolah Kebangsaan (LKTP) Selancar 1. Saya menimba ilmu selama 6 tahun dan mengharungi dunia kanak-kanak yang penuh dengan keriangan tidak mengenal masalah, bergelak tawa dan menghabiskan masa dengan permainan. Seterusnya, saya meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Selancar iaitu selama 5 tahun. Saya mengharungi zaman remaja dengan pahit dan manis bersama rakan-rakan yang merupakan rakan-rakan yang paling baik yang pernah saya kenali. Semasa di sekolah saya amat popular dengan jawatan bendahari iaitu selama 5 tahun kerana rakan-rakan menyatakan saya seorang yang garang dan suka mengugut semasa meminta duit kelas. Tidak lama kemudian, selepas tamat zaman persekolahan, saya melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Johor. Pada awalnya adalah amat sukar bagi saya membiasakan diri untuk berjauhan dengan keluarga tetapi lama kelamaan ia sudah menjadi kebiasaan. Perjuangan saya diteruskan dengan menjejakkan kaki ke Universiti Utara Malaysia dengan mendaftarkan diri pada tanggal 2 September 2013. Bermula daripada tarikh tersebut saya secara rasminya menjadi seorang mahasiswi. Impian saya merealisasikan impian kedua ibu bapa saya yang mahukan saya untuk menggenggam segulung ijazah dan berjaya dengan cemerlang di dunia mahupun di akhirat.
SMK Selancar


Universiti Utara Malaysia (UUM)

Akhir kata, terima kasih kerana mengunjungi blog saya. Harap anda mendapat manfaat dan semoga kalian dirahmati Allah S.W.T.