Saturday, 17 October 2015

Siapakah saya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera….
Nama diberi Shazwani Binti Othman. Nama panggilan yang paling diminati ramai ialah wani. Shazwani membawa maksud ketinggian. Malangnya saya tidaklah begitu tinggi orangnya. Saya merupakan anak kelahiran negeri Johor Darul Takzim. Saya dilahirkan ke dunia pada jam 6.20 pagi pada 1 januari 1994 di hospital Segamat. Ibu saya mengatakan bahawa saya tidak sabar untuk melihat dunia kerana saya lahir lebih awal daripada jangkaan tarikh kelahiran saya. Saya terpaksa dimasukkan dalam inkubator dan tinggal di hospital selama seminggu namun ibu saya telah dibenarkan pulang ke rumah lebih awal oleh doktor. Semasa di hospital terdapat satu kejadian berlaku iaitu jururawat yang bertugas telah memberikan bayi perempuan lain kepada ibu saya. Walaubagaimanapun, disebabkan oleh naluri seorang ibu yang kuat setelah melihat wajah bayi itu, ibu saya mengatakan bayi tersebut ialah bukan anaknya iaitu saya kerana bayi tersebut dilahirkan pada tengah malam sedangkan saya dilahirkan pada awal pagi. Alhamdulillah, tidak berlaku kejadian seperti dalam sinetron yang bertajuk ‘Puteri Yang Tertukar’. Saya berasa sangat bersyukur kerana telah mendapat pinjaman hayat selama 21 tahun dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan onak duri ini.
Saya merupakan anak kelima daripada enam orang adik beradik. Saya dan adik beradik telah mengharungi duri-duri kehidupan selama 21 tahun bersama bak kata pepatah air dicincang tidak akan putus. Secara jujurnya, saya amat merindui kenangan semasa kami adik-beradik masih kecil dan tinggal bersama tetapi sekarang kesemua adik-beradik saya telah mempunyai kerjaya masing-masing dan tinggal berjauhan daripada ibu dan ayah. InsyaAllah ukhuwah yang disemai ini akan berkekalan sehingga ke syurga. Saya dibesarkan oleh sebuah keluarga yang sederhana. Ibubapa saya memerah keringat untuk memastikan kesemua anak mereka berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Alhamdulillah kini kami adik beradik telah berjaya merealisasikan impian mereka.
Ayah saya ialah seorang peneroka felda yang pada setiap hari ke ladang untuk mencari rezeki demi isteri dan anak-anak. Masih kuat dalam ingatan saya apabila ayah saya ke ladang dengan menaiki motorsikal dalam pulang ke rumah dengan pakaian yang basah akibat hujan. Pada masa itu, kami hanya mempunyai sebuah motorsikal sahaja tetapi motorsikal tersebut sangat berjasa kepada kami sekeluarga kerana dengan motorsikal itu kami ke sekolah, ayah pergi ke ladang dan membawa kami bersiar-siar pada waktu petang. Ibu pula membantu ayah dengan menjual kuih bahulu tanpa mengenal penat lelah. Ibu sering tidur pada lewat malam dan bangun pada awal subuh untuk menyiapkan tempahan kuih bahulu para pelanggannya. Saya tahu ibu dan ayah sangat letih bekerja demi mencari sesuap nasi. Oleh itu, saya berjanji untuk membantu mereka dengan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran dan mendapat kerja yang bagus untuk membina sebuah kehidupan yang lebih selesa. Ibu telah menjalankan perniagaan sejak saya berusia 1 tahun. Oleh yang demikian, usia perniagaan ibu saya ialah selama 21 tahun.


Ladang kelapa sawit
Pada tanggal 28 Ogos 2015, Allah S.W.T telah menurunkan sebuah ujian yang sangat besar kepada kami sekeluarga. Ibu saya telah kembali ke rahmatullah disebabkan penyakit yang serius. Kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba bagai disambar petir yang mana kejadian tersebut amat mengejutkan kami sekeluarga dan memberikan kesan yang sangat besar kepada kami disebabkan kehilangannya adalah untuk selama-lamanya. Ibu tidak pernah berkongsi cerita mengenai penyakitnya kepada anak-anaknya kerana hatinya yang mulia tidak mahu anak-anaknya berasa risau dan khuatir tentang kesihatannya.
Pada petang itu, saya dan kakak saya membawa ibu ke hospital Sultanah Aminah Johor Bharu kerana melihat keadaan ibu yang semakin teruk. Semasa dalam perjalanan, ibu memesan kepada saya supaya menunggunya di hospital. Setelah sampai di hospital, ibu saya keluar daripada kereta dan masuk ke ruang kecemasan dengan berjalan sendiri tanpa meminta pertolongan daripada kami walaupun pada ketika itu, denyutan nadinya terlalu tinggi melebihi 200. Kemudian, kakak saya menyatakan bahawa ibu saya akan dibenarkan pulang selepas melihat keadaan ibu yang masih mampu berjalan sendiri.
Tiba-tiba, pihak hospital memanggil kami ke ruangan kritikal. Kami berasa sangat terkejut dan panik lalu terus memasuki ruangan kritikal tersebut. Setibanya di dalam ruangan tersebut, saya berasa sangat sebak di dada apabila melihat ibu saya terlantar di atas katil seperti lemah dan tidak mampu bergerak melainkan hanya bebola matanya sahaja yang mempu bergerak melihat kami. Kemudian, doktor terus memberitahu kami bahawa keadaan ibu kami sangat kritikal dan sangat tenat. Doktor membenarkan kami memberikan semangat kepada ibu dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum doktor memberi ubat supaya ibu tidur dan menunggu tindakbalas daripada ubat yang diberi. Terdapat beberapa orang doktor yang berdiri mengelilingi ibu semasa kami dibawa berjumpa dengan ibu. Saya tidak dapat menahan air mata semasa berbisik di telinga ibu terutamanya apabila ibu memandang wajah saya seolah-olah ingin mengatakan sesuatu kepada saya tetapi ibu sudah tidak berdaya. Pada jam 12.30 malam, ibu dimasukkan ke dalam wad. Kami sangat sedih apabila melihat keadaan ibu yang meneruskan pertaruhan nyawanya dengan menggunakan mesin.
Pada keesokannya, hari jumaat bersamaan 28 Ogos, setelah kami sekeluarga tiba di hospital dan menziarahi ibu, keadaan ibu menjadi semakin lemah. Ibu seakan-akan menunggu kesemua anak-anaknya menziarahinya terlebih dahulu pergi meninggalkan kami. Tepat pada jam 4.45 petang, ibu menghembuskan nafas terakhir. Saya amat menyedari bahawa ibu telah cuba sedaya upaya untuk melawan penyakitnya itu namun tewas. Walaubagaimanapun, saya berasa sangat bersyukur kerana saya dan semua adik-beradik berada disisi ibu pada saat itu dan saya tidak sanggup melihat ibu terseksa. Saya merasakan semua yang terjadi ini bagaikan mimpi. Saya seolah-olah tidak mampu bangun daripada mimpi ini. Walaubagaimanapun, kami sekeluarga sedang belajar untuk redha dan tabah dalam mengharungi ujian yang perit ini kerana setiap yang hidup pasti merasakan mati tetapi yang membezakannya ialah masa.

Buah hati dunia akhirat
Tambahan lagi, saya mendapat pendidikan awal pada usia 6 tahun. Kemudian, saya menjejakkan kaki ke Sekolah Kebangsaan (LKTP) Selancar 1. Saya menimba ilmu selama 6 tahun dan mengharungi dunia kanak-kanak yang penuh dengan keriangan tidak mengenal masalah, bergelak tawa dan menghabiskan masa dengan permainan. Seterusnya, saya meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Selancar iaitu selama 5 tahun. Saya mengharungi zaman remaja dengan pahit dan manis bersama rakan-rakan yang merupakan rakan-rakan yang paling baik yang pernah saya kenali. Semasa di sekolah saya amat popular dengan jawatan bendahari iaitu selama 5 tahun kerana rakan-rakan menyatakan saya seorang yang garang dan suka mengugut semasa meminta duit kelas. Tidak lama kemudian, selepas tamat zaman persekolahan, saya melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Johor. Pada awalnya adalah amat sukar bagi saya membiasakan diri untuk berjauhan dengan keluarga tetapi lama kelamaan ia sudah menjadi kebiasaan. Perjuangan saya diteruskan dengan menjejakkan kaki ke Universiti Utara Malaysia dengan mendaftarkan diri pada tanggal 2 September 2013. Bermula daripada tarikh tersebut saya secara rasminya menjadi seorang mahasiswi. Impian saya merealisasikan impian kedua ibu bapa saya yang mahukan saya untuk menggenggam segulung ijazah dan berjaya dengan cemerlang di dunia mahupun di akhirat.
SMK Selancar


Universiti Utara Malaysia (UUM)

Akhir kata, terima kasih kerana mengunjungi blog saya. Harap anda mendapat manfaat dan semoga kalian dirahmati Allah S.W.T.

  

No comments:

Post a Comment