Tuesday, 27 October 2015

Pelayaran Bahtera Kehidupan di UUM

Semester 1
     Pada tanggal 2 Sep 2013 iaitu pada hari isnin merupakan hari pertama saya menjejakkan kaki ke Universiti Utara Malaysia(UUM) atau dikenali sebagai universiti di rimba hijau. Memang tidak dinafikan bahawa adalah sangat sukar dan berat langkah kaki ini untuk berjauhan dengan keluarga. Saya merupakan anak kelahiran Johor iaitu suatu tempat yang berada di selatan Malaysia namun kini saya harus menetap di bahagian utara Malaysia. Perjalanan dari Johor ke Kedah mengambil masa lebih kurang 12 jam.  Pada hari bersejarah tersebut, ibu, ayah dan adik-beradik saya telah meluangkan masa untuk menghantar saya ke sini walaupun mereka sebenarnya sangat sibuk dengan tugas masing-masing. Saya mendaftarkan diri pada jam 2 petang kemudian setelah mendapat kunci bilik saya terus ke bilik yang  telah ditetapkan.
     Teman sebilik saya berasal dari Kelantan. Namanya Mastura, mempunyai perwatakan yang sangat lemah lembut dan sedikit pendiam orangnya. Detik yang paling sayu dan menyedihkan ialah apabila keluarga saya mahu pulang ke Johor dan terpaksa meninggalkan saya seorang diri di sini. Hal tersebut amat sukar bagi saya kerana saya tidak pernah berjauhan dengan keluarga tambahan lagi saya amat rapat dengan ibu saya. Perasaan sebak saya hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu. Jika diberi keizinan saya mahu mengikut mereka pulang ke Johor namun demikian jika memikirkan tentang cita-cita dan harapan keluarga yang setinggi gunung saya cuba untuk menguatkan diri saya untuk menjalani kehidupan yang lebih mencabar di sini.
     Pada malamnya, bermulalah minggu suai kenal (MSK) iaitu merupakan program wajib yang telah dirancang untuk kami sebagai pelajar baharu supaya kami mendapat pendedahan yang lebih mendalam mengenai UUM. Semua fasi yang bertugas telah menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik. Saya berasa amat letih kerana hampir setiap malam kami harus berjalan kaki ke Dewan Muadzam Shah (DMAS) dan kesemua aktiviti akan tamat pada jam 2 pagi. Fasi-fasi telah memberikan maklumat mengenai tempat-tempat yang penting di sini seperti dewan kuliah, perpustakaan, jadual perjalanan bas dan banyak lagi.
     Apabila sesi pembelajaran telah bermula, saya menemui ramai rakan baru dari berbagai negeri di seluruh Malaysia. Saya telah mendapat pengalaman baru yang sangat bermakna dalam hidup saya iaitu saya dapat belajar untuk hidup berdikari dan berpisah jauh daripada keluarga. Oleh itu, saya dapat mengenal erti tabah dan sabar dalam mengharungi kehidupan seharian. Saya juga dapat belajar untuk menghargai masa. Contohnya, saya bangun pada awal pagi supaya saya dapat ke kelas lebih awal daripada orang lain dan tidak perlu menghadapi kesesakan semasa menaiki bas.
     Tambahan lagi, sebagai pelajar baharu, saya wajib mengikuti program-program yang ditetapkan oleh pihak UUM. Saya telah menghadiri program kepimpinan dan keusahawanan iaitu merupakan sebuah program yang dapat melahirkan para pelajar yang berkebolehan daripada segi akademik dan kokurikulum. Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk menyuarakan pendapat dan berbincang tentang cara menjadi seorang pelajar yang cemerlang.
    Cabaran sebagai seorang pelajar semakin meningkat apabila saya harus menyelesaikan segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah kerana saya dapat belajar untuk menjadi seorang perancang yang baik. Selain itu, saya menyedari bahawa masa adalah emas yang sangat berharga oleh yang demikian, masa perlulah digunakan dengan sebaiknya dan manusia yang menggunakan masa dengan perkara yang sia-sia ialah golongan yang sangat rugi. Debaran semakin memuncak apabila saya harus menghadapi peperiksaan akhir universiti. Sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir, saya mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam dan mengorbankan masa tidur saya. Saya mengulangkaji pelajaran dengan menggunakan kertas soalan peperiksaan semester sebelumnya. Saya sangat bersyukur kerana saya mendapat keputusan yang  cemerlang dan masih mampu membuat ibu dan ayah bangga serta gembira dengan saya.
     Akhir sekali, saya juga mendapat pengalaman baru apabila tiba kemunculan cuti semester yang dinanti-nantikan oleh semua mahasiswa. Saya amat teruja semasa pertama kali menaiki bas ketika pulang ke Johor. Perjalanan mengambil masa selama 12 jam. Oleh itu, saya berasa amat letih kerana terlalu lama berada di dalam bas. Walaubagaimanapun, rasa letih tersebut hilang setelah saya dapat berjumpa dengan keluarga tercinta dan selamat sampai ke destinasi.


Majlis Makan Malam Dpp Tm

Rakan kelas



Semester 2
     Perjalanan sebagai seorang pelajar diteruskan pada semester kedua. Pada semester ini saya telah mendapat ilmu dan maklumat dalam menguruskan hal akademik dengan lebih teratur seperti pengurusan subjek yang akan diambil dan jadual. Pengalaman baru yang saya dapat belajar dalam semester ini ialah menghadiri majlis makan malam Dewan Penginapan Pelajar Tm. Saya dan rakan-rakan  berasa sangat terharu dan menyediakan persiapan yang rapi bagi menghadiri majlis tersebut. Walaubagaimanapun, timbul sedikit perasaan tidak puas hati apabila saya tidak mendapat meja makan sedangkan saya telah membayar yuran. Oleh itu, saya harus berkongsi meja dengan rakan-rakan baharu yang merupakan pelajar antarabangsa.
   Selain itu, saya juga belajar untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Saya dan ahli kumpulan membuat perniagaan menjual jersi iaitu jersi bola sepak pasukan Johor Darul Takzim(JDT). Pada awalnya, perniagaan kami kurang mendapat sambutan walaupun kami telah menjalankan promosi secara aktif terutamanya dalam laman sosial seperti Facebook. Namun demikian, kami membuat keputusan untuk melibatkan  diri dalam sebuah karnival di Dpp Sme Bank. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Kami sangat berpuas hati dengan keuntungan yang diperoleh dan kami juga sangat bersyukur kerana secara tak langsung pembinaan perniagaan ini telah meningkatkan lagi rasa minat kami terhadap perniagaan dan perkara yang paling penting ialah kami tidak menganggap peniagaan ini sebagai tugasan semata-mata.
   Pada semester ini juga saya dijemput untuk menghadiri Majlis Anugerah Dekan untuk julung kalinya. Majlis ini dapat menguatkan lagi semangat saya untuk belajar dalam mencapai cita-cita dan membahagiakan ibu dan ayah di dunia dan akhirat. Pengisian bermakna dalam majlis ini akan saya kongsikan bersama rakan-rakan sebagai peniup semangat kami untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Jersi pasukan JDT


Semester 3
     Pada semester ini, saya mendapat pengalaman baru apabila majlis konvokesyen UUM dijalankan. Oleh yang demikian, saya tidak melepaskan peluang untuk mengahadiri pesta konvo UUM yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pelajar. Terdapat pelbagai jenis pilihan makanan yang membuka selera saya. Namun demikian, masalah yang mencabar diri saya ialah kewangan. Kebanyakan pelajar mempunyai masalah untuk mengawal perbelanjaan. Justeru itu, saya harus belajar untuk merancang dan mengurus perbelanjaan saya dengan baik dengan cara membeli barang yang perlu sahaja dan mengawal diri daripada terpengaruh dengan keinginan yang tidak diperlukan.
Selain itu, hobi saya ialah bersiar-siar. Jika saya berada di rumah, saya dan rakan-rakan akan bersiar-siar pada waktu petang untuk memenuhi masa lapang. Oleh itu, saya tidak mahu mengorbankan hobi yang saya minati hanya kerana semata-mata saya telah menyambung pelajaran di UUM. Saya telah memilih tasik di Dpp Sime Darby sebagai tempat saya mengisi masa lapang dan juga melepaskan tekanan. Setiap orang mempunyai cara yang berbeza untuk melepaskan tekanan dan inilah cara saya. Saya akan mengambil masa beberapa minit berseorangan di sana. Jika saya berasa bosan pada waktu malam, saya akan menonton video atau cerita-cerita yang menarik di bilik. Pada kebiasaannya saya menonton semasa menyiapkan tugasan untuk menghilangkan rasa mengantuk.
     Pada semester ini juga saya telah menjalankan sebuah perniagaan menjual makanan. Perniagaan tersebut harus dijalankan atas arahan daripada pensyarah untuk mendapatkan markah dan gred yang baik. Saya dan ahli kumpulan bersetuju untuk menjual sosej gulung iaitu sosej yang saluti dengan telur goreng dan kemudian disaluti lagi dengan roti paratha. Kami mengambil pesanan daripada rakan-rakan terlebih dahulu dan kami juga tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan sosej gulung dalam laman sosial. Kami juga menyediakan servis penghantaran dari bilik ke bilik. Harga yang dikenakan juga sangat berpatutan dan mampu dibeli oleh para pelajar.
   Akhir sekali, semasa festival kebudayaan universiti dijalankan, saya dan rakan-rakan telah berkunjung ke pusat kebudayaan untuk menyaksikan pelbagai pertandingan tradisional daripada para pelajar UUM. Terdapat pertandingan dikir barat, boria, nasyid, nyanyian solo dan tarian. Saya memberikan sokongan penuh kepada Dpp Tm dengan memberikan semangat kepada rakan-rakan yang menyertai pertandingan tersebut.
Tasik Dpp Sime Darby

Ahli Kumpulan Perniagaan



Semester 4
     Kehidupan di UUM semakin mencabar apabila saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya masalah bersama rakan. Seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang, pada awal waktu perkenalan kita tidak akan dapat mengenali rakan dengan sepenuhnya. Namun apabila berada di pertengahan perkenalan pada saat itulah kita akan nampak keburukan seseorang itu. Saya dan rakan saya telah mengalami perselisihan faham dan kami cuba mengambil haluan masing-masing terlebih dahulu sebelum perkara tersebut menjadi lebih rumit.  
      Pada semester ini juga saya merasakan bahawa kehidupan saya sebagai seorang pelajar telah sampai ke fasa yang paling mencabar apabila saya harus menguruskan masa untuk menghadapi kuiz, pembentangan dan ujian dalam satu hari. Saya juga mendapat pengalaman baru semasa saya membuat pembentangan rancangan perniagaan bersama pihak bank. Alhamdulillah maklumbalas yang positif diterima daripada pihak bank serta dapat membantu perjalanan saya sebagai seorang pelajar dengan lebih baik.
       Tambahan lagi, semasa saya membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir, keluarga saya telah datang ke UUM dan membawa saya bercuti ke Pulau Langkawi. Memang tidak dinafikan bahawa saya berasa agak susah hati kerana sepatutnya saya menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran tetapi setelah mendapat nasihat dan sokongan daripada keluarga bahawa mereka akan mengawal jadual belajar saya semasa bercuti, saya bersetuju untuk mengikuti percutian itu. Alhamdulillah, percutian tersebut merupakan percutian yang paling bermakna dalam hidup saya kerana percutian tersebut dipenuhi dengan kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan dalam hidup saya dan merupakan percutian terakhir saya bersama arwah ibu. Saya berjanji untuk menggenggam dan sematkan kenangan ini dalam ingatan saya selama-lamanya.
       Pada semester ini, Dpp Tm sekali lagi mengadakan majlis makan malam dan ini merupakan kali kedua saya menghadiri majlis makan malam ini. Namun demikian, keadaan menjadi agak berbeza sedikit daripada sebelum ini kerana saya terlibat dalam persediaan majlis makan malam tersebut. Saya terpaksa mengorbankan masa dan tenaga untuk melakukan persediaan tersebut supaya majlis tersebut berjalan lancar.

Semester  5
       Pada semester ini, saya sangat sibuk dalam menguruskan program-program di kolej. Saya harus belajar cara menguruskan dan membahagikan masa dengan baik untuk akademik dan program kolej. Semester ini menjadi semester yang paling mencabar kerana saya harus menjalani kehidupan dengan merasa kehilangan kasih sayang seorang ibu. Saya mengakui adalah sangat sukar bagi saya meneruskan kehidupan tanpa seorang ibu disisi. Selama ini ibu banyak memberikan semangat dan mengambil berat terhadap saya. Saya berasa sangat sedih kerana saya tidak sempat untuk membantu ibu dengan memberikan kasih sayang dan membantu daripada segi kewangan daripada hasil usaha saya sendiri apabila bekerja. Saya hanya mampu mengirimkan doa untuk arwah ibu dan sentiasa merinduinya.
      Tambahan lagi, saya juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pesta konvokesyen UUM ke-28. Pada pendapat saya, pesta konvo UUM pada kali ini lebih meriah daripada sebelum ini. hal ini disebabkan oleh terdapat banyak gerai yang dibuka serta berbagai makanan yang dijual. Selain itu, terdapat banyak permainan yang dapat saya cuba bersama rakan-rakan. Apabila saya dan rakan-rakan melihat jambakan-jambakan bunga yang dijual, kami berasa sangat tidak sabar untuk menunggu saat kami tamat pengajian dan mengikuti konvokesyen.
         Pada minggu ini, saya berasa sangat gembira apabila abang saya dari Johor telah berkunjung ke UUM untuk melawat saya. Kami telah menghabiskan masa bersama-sama dengan bersiar-siar ke Alor Setar. Saya berasa agak letih tetapi saya sangat seronok dan terhibur apabila dapat bermain bersama anak-anak saudara saya. Mereka sangat bijak dan comel sehingga saya tidak berasa bosan apabila melayan karenah mereka. Kedatangan keluarga saya ke UUM berjaya mengubat rasa rindu yang terpendam dalam diri saya kepada arwah ibu saya selama ini. 

Teman tapi mesra

1 comment:

  1. dekat uum ni penyusunan jadual macam mana eh proses dia ?

    ReplyDelete