Semester 1
Pada
tanggal 2 Sep 2013 iaitu pada hari isnin merupakan hari pertama saya
menjejakkan kaki ke Universiti Utara Malaysia(UUM) atau dikenali sebagai
universiti di rimba hijau. Memang tidak dinafikan bahawa adalah sangat sukar
dan berat langkah kaki ini untuk berjauhan dengan keluarga. Saya merupakan anak
kelahiran Johor iaitu suatu tempat yang berada di selatan Malaysia namun kini
saya harus menetap di bahagian utara Malaysia. Perjalanan dari Johor ke Kedah
mengambil masa lebih kurang 12 jam. Pada
hari bersejarah tersebut, ibu, ayah dan adik-beradik saya telah meluangkan masa
untuk menghantar saya ke sini walaupun mereka sebenarnya sangat sibuk dengan
tugas masing-masing. Saya mendaftarkan diri pada jam 2 petang kemudian setelah
mendapat kunci bilik saya terus ke bilik yang
telah ditetapkan.
Teman
sebilik saya berasal dari Kelantan. Namanya Mastura, mempunyai perwatakan yang
sangat lemah lembut dan sedikit pendiam orangnya. Detik yang paling sayu dan
menyedihkan ialah apabila keluarga saya mahu pulang ke Johor dan terpaksa
meninggalkan saya seorang diri di sini. Hal tersebut amat sukar bagi saya
kerana saya tidak pernah berjauhan dengan keluarga tambahan lagi saya amat
rapat dengan ibu saya. Perasaan sebak saya hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu.
Jika diberi keizinan saya mahu mengikut mereka pulang ke Johor namun demikian
jika memikirkan tentang cita-cita dan harapan keluarga yang setinggi gunung
saya cuba untuk menguatkan diri saya untuk menjalani kehidupan yang lebih
mencabar di sini.
Pada
malamnya, bermulalah minggu suai kenal (MSK) iaitu merupakan program wajib yang
telah dirancang untuk kami sebagai pelajar baharu supaya kami mendapat
pendedahan yang lebih mendalam mengenai UUM. Semua fasi yang bertugas telah
menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik. Saya berasa amat letih kerana
hampir setiap malam kami harus berjalan kaki ke Dewan Muadzam Shah (DMAS) dan
kesemua aktiviti akan tamat pada jam 2 pagi. Fasi-fasi telah memberikan
maklumat mengenai tempat-tempat yang penting di sini seperti dewan kuliah,
perpustakaan, jadual perjalanan bas dan banyak lagi.
Apabila
sesi pembelajaran telah bermula, saya menemui ramai rakan baru dari berbagai
negeri di seluruh Malaysia. Saya telah mendapat pengalaman baru yang sangat
bermakna dalam hidup saya iaitu saya dapat belajar untuk hidup berdikari dan
berpisah jauh daripada keluarga. Oleh itu, saya dapat mengenal erti tabah dan
sabar dalam mengharungi kehidupan seharian. Saya juga dapat belajar untuk
menghargai masa. Contohnya, saya bangun pada awal pagi supaya saya dapat ke
kelas lebih awal daripada orang lain dan tidak perlu menghadapi kesesakan
semasa menaiki bas.
Tambahan
lagi, sebagai pelajar baharu, saya wajib mengikuti program-program yang
ditetapkan oleh pihak UUM. Saya telah menghadiri program kepimpinan dan
keusahawanan iaitu merupakan sebuah program yang dapat melahirkan para pelajar
yang berkebolehan daripada segi akademik dan kokurikulum. Program ini memberi
peluang kepada para pelajar untuk menyuarakan pendapat dan berbincang tentang
cara menjadi seorang pelajar yang cemerlang.
Cabaran
sebagai seorang pelajar semakin meningkat apabila saya harus menyelesaikan
segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah kerana saya dapat belajar untuk
menjadi seorang perancang yang baik. Selain itu, saya menyedari bahawa masa
adalah emas yang sangat berharga oleh yang demikian, masa perlulah digunakan
dengan sebaiknya dan manusia yang menggunakan masa dengan perkara yang sia-sia
ialah golongan yang sangat rugi. Debaran semakin memuncak apabila saya harus
menghadapi peperiksaan akhir universiti. Sebagai persediaan menghadapi
peperiksaan akhir, saya mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam dan
mengorbankan masa tidur saya. Saya mengulangkaji pelajaran dengan menggunakan
kertas soalan peperiksaan semester sebelumnya. Saya sangat bersyukur kerana
saya mendapat keputusan yang cemerlang
dan masih mampu membuat ibu dan ayah bangga serta gembira dengan saya.
Akhir
sekali, saya juga mendapat pengalaman baru apabila tiba kemunculan cuti
semester yang dinanti-nantikan oleh semua mahasiswa. Saya amat teruja semasa
pertama kali menaiki bas ketika pulang ke Johor. Perjalanan mengambil masa
selama 12 jam. Oleh itu, saya berasa amat letih kerana terlalu lama berada di
dalam bas. Walaubagaimanapun, rasa letih tersebut hilang setelah saya dapat
berjumpa dengan keluarga tercinta dan selamat sampai ke destinasi.
Majlis Makan Malam Dpp Tm
Rakan kelas
Semester 2
Perjalanan
sebagai seorang pelajar diteruskan pada semester kedua. Pada semester ini saya
telah mendapat ilmu dan maklumat dalam menguruskan hal akademik dengan lebih
teratur seperti pengurusan subjek yang akan diambil dan jadual. Pengalaman baru
yang saya dapat belajar dalam semester ini ialah menghadiri majlis makan malam
Dewan Penginapan Pelajar Tm. Saya dan rakan-rakan berasa sangat terharu dan menyediakan
persiapan yang rapi bagi menghadiri majlis tersebut. Walaubagaimanapun, timbul
sedikit perasaan tidak puas hati apabila saya tidak mendapat meja makan
sedangkan saya telah membayar yuran. Oleh itu, saya harus berkongsi meja dengan
rakan-rakan baharu yang merupakan pelajar antarabangsa.
Selain itu, saya
juga belajar untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Saya dan ahli
kumpulan membuat perniagaan menjual jersi iaitu jersi bola sepak pasukan Johor
Darul Takzim(JDT). Pada awalnya, perniagaan kami kurang mendapat sambutan
walaupun kami telah menjalankan promosi secara aktif terutamanya dalam laman
sosial seperti Facebook. Namun demikian, kami membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam sebuah karnival di Dpp Sme Bank.
Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Kami sangat berpuas hati dengan
keuntungan yang diperoleh dan kami juga sangat bersyukur kerana secara tak
langsung pembinaan perniagaan ini telah meningkatkan lagi rasa minat kami
terhadap perniagaan dan perkara yang paling penting ialah kami tidak menganggap
peniagaan ini sebagai tugasan semata-mata.
Pada
semester ini juga saya dijemput untuk menghadiri Majlis Anugerah Dekan untuk
julung kalinya. Majlis ini dapat menguatkan lagi semangat saya untuk belajar
dalam mencapai cita-cita dan membahagiakan ibu dan ayah di dunia dan akhirat.
Pengisian bermakna dalam majlis ini akan saya kongsikan bersama rakan-rakan
sebagai peniup semangat kami untuk lebih berjaya pada masa akan datang.
Pada
semester ini, saya mendapat pengalaman baru apabila majlis konvokesyen UUM
dijalankan. Oleh yang demikian, saya tidak melepaskan peluang untuk mengahadiri
pesta konvo UUM yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pelajar.
Terdapat pelbagai jenis pilihan makanan yang membuka selera saya. Namun
demikian, masalah yang mencabar diri saya ialah kewangan. Kebanyakan pelajar
mempunyai masalah untuk mengawal perbelanjaan. Justeru itu, saya harus belajar
untuk merancang dan mengurus perbelanjaan saya dengan baik dengan cara membeli
barang yang perlu sahaja dan mengawal diri daripada terpengaruh dengan
keinginan yang tidak diperlukan.
Selain
itu, hobi saya ialah bersiar-siar. Jika saya berada di rumah, saya dan
rakan-rakan akan bersiar-siar pada waktu petang untuk memenuhi masa lapang.
Oleh itu, saya tidak mahu mengorbankan hobi yang saya minati hanya kerana
semata-mata saya telah menyambung pelajaran di UUM. Saya telah memilih tasik di
Dpp Sime Darby sebagai tempat saya mengisi masa lapang dan juga melepaskan
tekanan. Setiap orang mempunyai cara yang berbeza untuk melepaskan tekanan dan
inilah cara saya. Saya akan mengambil masa beberapa minit berseorangan di sana.
Jika saya berasa bosan pada waktu malam, saya akan menonton video atau
cerita-cerita yang menarik di bilik. Pada kebiasaannya saya menonton semasa
menyiapkan tugasan untuk menghilangkan rasa mengantuk.
Pada
semester ini juga saya telah menjalankan sebuah perniagaan menjual makanan.
Perniagaan tersebut harus dijalankan atas arahan daripada pensyarah untuk mendapatkan
markah dan gred yang baik. Saya dan ahli kumpulan bersetuju untuk menjual sosej
gulung iaitu sosej yang saluti dengan telur goreng dan kemudian disaluti lagi
dengan roti paratha. Kami mengambil pesanan daripada rakan-rakan terlebih
dahulu dan kami juga tidak melepaskan peluang untuk mempromosikan sosej gulung
dalam laman sosial. Kami juga menyediakan servis penghantaran dari bilik ke
bilik. Harga yang dikenakan juga sangat berpatutan dan mampu dibeli oleh para
pelajar.
Akhir
sekali, semasa festival kebudayaan universiti dijalankan, saya dan rakan-rakan
telah berkunjung ke pusat kebudayaan untuk menyaksikan pelbagai pertandingan
tradisional daripada para pelajar UUM. Terdapat pertandingan dikir barat,
boria, nasyid, nyanyian solo dan tarian. Saya memberikan sokongan penuh kepada
Dpp Tm dengan memberikan semangat kepada rakan-rakan yang menyertai
pertandingan tersebut.
Tasik Dpp Sime Darby
Ahli Kumpulan Perniagaan
Semester 4
Kehidupan
di UUM semakin mencabar apabila saya terpaksa berhadapan dengan pelbagai
masalah terutamanya masalah bersama rakan. Seperti yang dikatakan oleh
kebanyakan orang, pada awal waktu perkenalan kita tidak akan dapat mengenali
rakan dengan sepenuhnya. Namun apabila berada di pertengahan perkenalan pada
saat itulah kita akan nampak keburukan seseorang itu. Saya dan rakan saya telah
mengalami perselisihan faham dan kami cuba mengambil haluan masing-masing
terlebih dahulu sebelum perkara tersebut menjadi lebih rumit.
Pada
semester ini juga saya merasakan bahawa kehidupan saya sebagai seorang pelajar
telah sampai ke fasa yang paling mencabar apabila saya harus menguruskan masa
untuk menghadapi kuiz, pembentangan dan ujian dalam satu hari. Saya juga
mendapat pengalaman baru semasa saya membuat pembentangan rancangan perniagaan
bersama pihak bank. Alhamdulillah maklumbalas yang positif diterima daripada pihak
bank serta dapat membantu perjalanan saya sebagai seorang pelajar dengan lebih
baik.
Tambahan lagi, semasa
saya membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir, keluarga saya telah
datang ke UUM dan membawa saya bercuti ke Pulau Langkawi. Memang tidak
dinafikan bahawa saya berasa agak susah hati kerana sepatutnya saya menumpukan
sepenuh perhatian dalam pelajaran tetapi setelah mendapat nasihat dan sokongan
daripada keluarga bahawa mereka akan mengawal jadual belajar saya semasa
bercuti, saya bersetuju untuk mengikuti percutian itu. Alhamdulillah, percutian
tersebut merupakan percutian yang paling bermakna dalam hidup saya kerana
percutian tersebut dipenuhi dengan kenangan manis yang tidak mungkin dilupakan
dalam hidup saya dan merupakan percutian terakhir saya bersama arwah ibu. Saya
berjanji untuk menggenggam dan sematkan kenangan ini dalam ingatan saya
selama-lamanya.
Pada
semester ini, Dpp Tm sekali lagi mengadakan majlis makan malam dan ini
merupakan kali kedua saya menghadiri majlis makan malam ini. Namun demikian,
keadaan menjadi agak berbeza sedikit daripada sebelum ini kerana saya terlibat
dalam persediaan majlis makan malam tersebut. Saya terpaksa mengorbankan masa
dan tenaga untuk melakukan persediaan tersebut supaya majlis tersebut berjalan lancar.
Semester 5
Pada
semester ini, saya sangat sibuk dalam menguruskan program-program di kolej.
Saya harus belajar cara menguruskan dan membahagikan masa dengan baik untuk
akademik dan program kolej. Semester ini menjadi semester yang paling mencabar
kerana saya harus menjalani kehidupan dengan merasa kehilangan kasih sayang
seorang ibu. Saya mengakui adalah sangat sukar bagi saya meneruskan kehidupan
tanpa seorang ibu disisi. Selama ini ibu banyak memberikan semangat dan
mengambil berat terhadap saya. Saya berasa sangat sedih kerana saya tidak
sempat untuk membantu ibu dengan memberikan kasih sayang dan membantu daripada
segi kewangan daripada hasil usaha saya sendiri apabila bekerja. Saya hanya
mampu mengirimkan doa untuk arwah ibu dan sentiasa merinduinya.
Tambahan
lagi, saya juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pesta konvokesyen
UUM ke-28. Pada pendapat saya, pesta konvo UUM pada kali ini lebih meriah
daripada sebelum ini. hal ini disebabkan oleh terdapat banyak gerai yang dibuka
serta berbagai makanan yang dijual. Selain itu, terdapat banyak permainan yang
dapat saya cuba bersama rakan-rakan. Apabila saya dan rakan-rakan melihat
jambakan-jambakan bunga yang dijual, kami berasa sangat tidak sabar untuk
menunggu saat kami tamat pengajian dan mengikuti konvokesyen.
Pada
minggu ini, saya berasa sangat gembira apabila abang saya dari Johor telah
berkunjung ke UUM untuk melawat saya. Kami telah menghabiskan masa bersama-sama
dengan bersiar-siar ke Alor Setar. Saya berasa agak letih tetapi saya
sangat seronok dan terhibur apabila dapat bermain bersama anak-anak saudara
saya. Mereka sangat bijak dan comel sehingga saya tidak berasa bosan apabila
melayan karenah mereka. Kedatangan keluarga saya ke UUM berjaya mengubat rasa
rindu yang terpendam dalam diri saya kepada arwah ibu saya selama ini.
Teman tapi mesra
dekat uum ni penyusunan jadual macam mana eh proses dia ?
ReplyDelete